**AKAN DATANG 2018!! : DRAMA TI AMO SWEETHEART 100 HARI! LAKONAN ZUL ARIFFIN DAN NEELOFA**
&
**KLIK! PENGANTIN MUSIM SALJU LAKONAN ALIF SATAR DAN NANA**

Saturday 10 July 2010

M.A.I.D 3

Tolong basuh dengan bersih semua utensil. I hate smelly things.”

Nota pertama yang dilekatkan di sink itu, aku baca sebaik sahaja aku melangkah ke dapur. Aku tidak faham apakah maknanya smelly tetapi daripada ayat itu, aku dapat mengagak yang maknanya mesti berkaitan dengan kebersihan kot. Sink yang penuh dengan pinggan mangkuk itu pasti akan bersih dengan hasil sentuhanku sebentar lagi.

“Ada lagi?” Suaraku bergema di dalam rumah itu apabila aku terpandang nota berwarna biru tertampal kemas di pintu peti ais pula kali ini. Hari ini aku banyak bercakap sendirian. Kalau orang lain lihat, mesti mereka ingat aku ni gila agaknya.

“Jangan tunggu sehingga keperluan dapur habis, baru nak maklumkan kepada saya. Beritahu awal-awal.”

Inilah bunyinya nota kedua yang kubaca pagi ini. Aku membuka peti ais dan dapat aku lihat bermacam-macam benda ada di dalam peti ais besar ini. Aku kemudiannya berjalan ke kabinet yang berwarna putih sambil menanggalkan nota yang tertampal di atasnya.

“Setelah pinggan mangkuk yang dibasuh kering, haruslah disimpan di dalam kabinet ini.”

Tiada masalah. Kalau kerja membasuh dan mengemas aku sememangnya tiada masalah, tetapi janganlah masak-memasak, aku tak pandai. Itu sahaja nota yang aku jumpa di dapur.Aku melangkah ke bahagian ruang tamu pula di mana nota pertama di ruang tamu tertampal kemas pada sebuah pasu yang penuh dengan bunga-bunga kristal.

“Ada ke lelaki yang sukakan bunga? Macam mak aku pulak mamat ni.” Sekali lagi aku bercakap sendirian.

“Berhati-hati semasa membersihkan pasu dan bunga-bunga ini ibarat awak sayangkan nyawa awak.” Nota kali ini tertulis begitu.

“Dia ingat nyawa aku sama nilai dengan bungan kristal ni apa? Tak logik langsung. Hishhh!” Kali ini suaraku sudah berbunyi seperti halilintar. Boleh gila aku kalau terpaksa membaca nota-notanya setiap hari. Aku lebih rela balik ke sekolah menghafal nota-nota geografi atau sejarah yang membosankan itu. Sumpah!

Di atas meja kaca berbentuk empat segi yang terletak betul-betul di hadapan sofa juga ada kelibat sekeping lagi nota biru. Aku menarik dengan ganas nota itu. Kali ini akan kubaca dengan kuatnya apa yang Mr. F tulis sebab aku sudah betul-betul tertekan.

“Jangan tumpahkan apa-apa di atas karpet dan sofa. Handle them with care, seperti awak sayangkan nyawa awak.” Arghhhhhh! Kenapa dia asyik membandingkan barang-barangnya dengan nyawa aku? Dia ingat nyawa aku boleh dijual beli dengan duit? Melampau betul Mr. F ni.

Aku melihat di sekitar ruang penthouse dan kali ini bukan nota kecil yang menarik perhatianku, tetapi perhiasan yang tersusun rapi di dalamnya. Aku membuka pintu kabinet yang bertombolkan emas itu tanpa menghiraukan nota yang tertampal diatasnya. Serta-merta lampu berwarna kuning terpancar dari bahagian atas almari itu. Tingkat pertama menempatkan koleksi barang-barang kristal yang berkilauan. Barangan kristal yang terdiri daripada pelbagai bentuk ini benar-benar mengasyikkan aku. Dapat kulihat tingkat kedua memuatkan koleksi kereta antik yang terdiri dari pelbagai saiz dan warna.

“Hm..ini baru logik rumah yang aku kemas ni rumah lelaki.” Seperti biasa, aku berbicara sendirian lagi. Tingkat terakhir pula berisi cawan dari pelbagai negara. Nampaknya Mr.F yang sombong ini telah melancong ke banyak negara, sehinggakan ada nama tempat yang aku tidak pernah dengar tertulis di atas cawan.

Pintu almari kututup dan aku menarik nota yang menunggu aku untuk membacanya.

“Jangan buka almari ini. Tidak perlu kemas dan bersih.”

Ooops, aku dengan tidak sengaja telah membuka almari tersebut sebentar tadi. Tidak mengapa, di masa akan datang akan aku cuba untuk tidak menyentuhnya lagi. Bukan ada emas pun di dalamnya.

Di dalam 3 bilik di ruangan bawah penthouse, memang tidak ada apa-apa nota yang tertampal. Aku melangkah semula ke dapur dan mengeluarkan penyedt hampagas dari dalam stor. Lantai yang berhabuk membuatkan aku terasa ingin bersin dan tidak selesa untuk bernafas. Macam manalah Mr. F yang cerewet boleh hidup dalam keadaan ini, aku tak pasti. Mungkin juga hidungku yang terlebih sensitif.

Selepas aku membersihkan keseluruhan kawasan di bahagian bawah, aku menaiki tangga dan aku bersihkan pula ruang atas penthouse. Tidak ada nota yang terampal di sini. Setelah selesai, aku membasuh dan mengemas apa yang perlu. Aku merapatkan diri ke bilik yang berdinding kaca lutsinar yang berhadapan dengan bilik Mr. F. Bilik ini penuh dengan rak buku serta sebuah meja dan kerusi empuk. Baru sekarang aku perasaan ada bilik di sini. Aku tidak perasankan dinding kaca tersebut tadi. Di atas meja tersebut terdapat pelbagai jenis fail dan buku-buku. Di hadapan pintu bilik tertulis perkataan “No Entry.” dan berkunci. Mungkin ini ruangnya di mana dia menghabiskan kerja pejabat. Aku pun tidak pasti. Bagus juga berkunci, tidak perlu aku bersusah-payah mengemas.

Sekarang, tepat pukul 2 petang. Aku telah siap melakukan semua kerja rumah termasuk dengan membasuh pakaian yang hanya beberapa helai ditinggalkan di dalam bakul. Itupun hanya t-shirt dan seluar pendek yang pastinya akan kelihatan seksi di badan Mr. F. Hish, melalut pula aku ni.

Pintu bilik yang terletak di sebelah bilik Mr. F aku buka, tidak tahu mengapa tetapi aku begitu tertarik sekali dengan bilik ini. Katil diletakkan rapat ke dinding kaca yang kelihatan gelap dari luar. Aku naik ke atas katil dan melihat ke luar penthouse. Pemandangan kolam renang dan taman yang sangat mempesonakan terpampang di ruang mataku. Aku berguling ke kiri dan ke kanan.

“Penatnya buat kerja hari ni..best gile dapat berehat atas tilam empuk macam ni.” Aku bercakap seorang diri lagi. Hanya telingaku yang mendengar apa yang aku katakan itu. Kemudian aku sudah tidak mendengar apa-apa lagi.

***

Mata aku buka perlahan-lahan. Tertidur rupanya aku. Keadaan sekeliling kuperhatikan.“Ya Allah! Dah pukul berapa?” Bergema suaraku di dalam bilik yang berwarna lavender ini. Aku melihat jam di telefon bimbitku. Pukul 5 petang. Aku sudah terlepas solat zohor. Langkah kuatur ke bilik air untuk membersihkan mukaku. Sekilas aku memandang ke arah tab mandi yang berwarna putih. Setelah selesai membasuh muka aku terus turun ke bawah untuk memasak nasi dan memanaskan kari ayam Iman.

“Macam mana nak on kan dapur ni?” Inilah pertama kali aku melihat dapur yang tidak mempunyai tong gas. Puas aku cari tetapi tidak kelihatan tong gas di situ. Bagaimana aku nak masak ni? Terdapat beberapa butang pada bahagian hadapan dapur tersebut, tetapi aku tidak tahu butang mana yang harus kutekan. Dapur ini kelihatan seperti tidak lengkap kerana ruangan atas bertutup dengan selapisan kaca.

“Pelik betul, kaya tetapi tong gas pun tak mampu nak beli.” Mulutku terlepas juga kata-kata yang bersarang dihatiku. Aku sengaja memicit salah satu butang yang terdapat pada dapur berkenaan dan aku bersandar di situ.

“Haruskah aku menelefon Mr. F? Ah, apa nak buat ni?” Aku betul-betul buntu. Tiba-tiba aku terasa panas belakang badanku. Seperti ada api. Aku toleh dan memang benar ada api menyala di bawah lapisan kaca tersebut.

“Oh..begitu caranya..tapi takde gas pun dalam rumah ni.”Aku masih lagi mengomel sendirian. Kari ayam kuletakkan di dalam periuk bersaiz sederhana besar yang terdapat di dalam kabinet. Seterusnya periuk itu kuletakkan di atas lapisan kaca tersebut. Setelah itu, aku memasak nasi. Jangan terkejut, sememangnya nasi, mee segera dan air adalah 3 benda yang aku tahu masak. Bukan setakat tahu, tapi memang pandai sangat.

“Setelah semuanya selesai, aku mengeluarkan salad dan tomato dari dalam peti ais. Aku lihat di televisyen, orang kaya memang suka makan daun salad. Aku terus memotong-motong daun salad dan tomato dan kuletakkan ke dalam piring. Selepas itu aku menggorengkan telur sebanyak 3 biji. Harap-harapnya cukuplah untuk perut Mr. F.

Nota-nota yang kukumpul tadi aku masukkan di dalam beg. Aku nak tengok, sepanjang aku bekerja di sini berapa keping nota aku boleh kumpul. Orang lain hobinya mengumpul setem, tetapi aku lain pulak halnya. Aku hanya menampalkan satu nota di atas periuk nasi. “Panaskan sebelum makan.” Itu sahaja yang aku tulis. Tepat pukul 6 petang, aku pun beredar dari situ. Berakhirlah hari pertamaku bekerja di penthouse Mr. F dengan jayanya.

***

“Hah? Kau jumpa Mr. F tetapi dia tidak tahu yang engkau adalah pembantu rumahnya? Aku tak fahamlah. Apa kau cakap ni Noorul?” Iman meninggikan suaranya kepadaku. Dia ingat aku nak main-mainkan dia kot.

“Betul Iman..aku jumpa dia semasa nak naik lif ke rumah Mr. F. Masa aku nak masuk dalam lif tu aku terlanggar dengan seorang lelaki yang memang sebijik macam orang korea. Sombong gile kau tahu.” Aku menceritakan kepada Iman tentang pertemuan pertamaku yang singkat dengan Mr.F.

“Lepas tu? Macam mana kau tahu itu adalah Mr. F?” Iman bertanya lagi dengan penuh minat. Biskut cream crackers atau lebih dikenali dengan panggilan biskut empat segi di kalangan aku dan Iman disuapnya ke mulut.

“Tu la, aku tak habis cerita, engkau dah menyampuk! Lepas tu, aku naik ke tingkat 29 dan aku masuk ke dalam penthouse yang juga bernombor 29. Apabila selesai meninjau ke semua bilik di bahagian bawah, aku pun naiklah ke bahagian atas. Masuk je dalam bilik Mr. F, terpampang poster gambar lelaki yang berwajah sama seperti orang yang aku langgar kat lif tadi. Besar poster tu Iman..terkejut beruk aku.” Aku berkata sambil mengurut-urut dadaku kerana terkejutku memang masih belum hilang. Iman masih lagi memerhatiku dengan pandangan tidak percaya. Biskut kering empat segi diambilnya lagi dan dikunyah perlahan.

“Kiranye sekarang, kau kenal dia tetapi dia tak kenal kau lah ye?” Iman masih memandang wajahku dengan pandangan yang pelik.

“Ye, nampaknya macam tu lah. Rasanya dia memang nak jumpa aku tadi, tapi mungkin disebabkan aku sampai pun dah dekat-dekat pukul 8 pagi, tu yang dia tak sempat tunggu kot.” Aku membuat kesimpulan sendiri.

“Jadi, apa rancangan kau sekarang?” Iman bertanya kepadaku dengan penuh perasaan ingin tahu.

“Aku akan teruskan kerja macam biasalah. Kalau jumpa nanti, jumpa ja lah tetapi buat masa sekarang aku pun akan berpura-pura tak kenal dia. Dah tu, takkan lah aku pulak nak terhegeh-hegeh pergi perkenalkan diri aku, kalau terjumpa dia kat dalam lif lain kali..” Iman menganggukkan kepalanya berulang kali. Tin biskut ditutupnya rapat dan diletakkan di atas meja.

“Ah, takkan lah Mr. F nak buang kau kerja sebab kau terlanggar dia je kan. Tak mungkin, tak mungkin.” Iman seperti memberikan aku semangat. Kata-katanya itu memang melapangkan sedikit fikiranku yang agak serabut tadi.

“Penthouse tu kan Iman..cantik gila. Dapur die sangat canggih! Mesti kau tak pernah tengok dapur macam tu, aku rasa lah. Canggih. Semua bilik mandi ada tab mandi sendiri. Aku tertidur tadi kat salah satu bilik tu..memang selesa macam tak nak bangun. Wahh..memang bertuah la Mr. F dapat tinggal kat situ.” Masih terbayang di ruang mataku keadaan penthouse Mr. F.

“Apa Noorul!!! Kau tertidur?” Jeritan Iman yang kuat kini memenuhi ruang dapur rumah pangsa kami yang kecil.

“Aku tertidur, Iman..tapi aku habiskan dulu kerja-kerja aku. Lagipun boring la Iman kat situ. Tidak seperti di kilang dulu, ramai kawan-kawan. Sebab tu lah aku terlelap.” Aku menjawab dengan perlahan. Aku tahu Iman risau kalau-kalau Mr. F tahu tentang perbuatanku itu.

“Aku cuma risau kalau Mr. F tahu je. Dah la kau ade kes dengan dia, confirm lagi senang dia nak pecat kau.” Iman meluahkan kerisauannya kepadaku. Tangannya lincah menuangkan air ke dalam gelas kaca berwarna putih.

“Aku tahu, kau risaukan aku. Iman, kau mesti kena datang lawat penthouse tu satu hari nanti. Mesti kau pun rasa macam nak kerja kat situ.” Aku memang nak juga bawak Iman ke penthouse Mr. F satu hari nanti sebab aku pasti, Iman yang membesar di Felda Bukit Goh memang tidak pernah menjejakkan kaki ke kediaman yang mewah seperti itu. Kan sharing is caring.

“Boleh juga, tapi aku takutlah dengan bos kau tu. Dah la cerewet, pelik pulak tu.” Iman mencebik selepas meluahkan ayat tersebut.

“Tak pe, nanti bila line clear, aku bawak kau pergi okay?” kataku sambil mengenyitkan mata kepada Iman yang kelihatan sedikit teruja untuk ke penthouse Mr. F.


“Hm..tengok la dulu. Eh, kau ni nak pergi tak ke pasar malam? Aku memang dah tak larat nak masak ni, nak harapkan kau? Hm, lupakan je la..cepat la siap, dah pukul 8 malam ni.” Seperti biasa, mulut Iman yang seperti mak nenek itu membebel kepadaku. Aku bingkas bangun menuju ke bilik untuk bersiap ke pasar malam bersama dengan kawan baikku Iman yang sudah kuanggap seperti kakakku sendiri.

***

“Alamak, sorry encik, sorry..saya tak sengaja..maafkan sa..” Ya Allah, kata-kataku tersekat hanya di kerongkong saat ini. Aku benar-benar tidak dapat menghabiskan kata-kataku apabila mataku terpandang matanya yang ibarat seekor harimau yang sedang bersedia untuk menerkam mangsanya dan mata itu milik seseorang yang kukenali. Aku menenyeh-nenyeh kedua-dua belah mataku. Memang sinaran lampu kalimantang di pasar malam Bayan Baru ini tidak menipu aku.

“Oh my god, you AGAIN!” Jeritannya yang kuat itu membuatkan beberapa pasang mata berhenti dan memandang ke arah kami. Muka Iman juga sudah pucat lesi disebabkan insiden ini.

“Saya tak sengaja encik..” Kataku sambil menyapu-nyapu sos keropok lekor yang tertumpah ke atas bajunya dengan tisu. Rugi duitku sebanyak 80 sen gara-gara aku terlanggar lelaki yang juga bos ku ini, menyebabkan sos tertumpah ke atas bajunya di bahagian dada. Plastik sos pula terjatuh ke atas jalan raya. Tidak kusangka Mr. F suka datang ke pasar malam pula.

“Dah, jangan sentuh aku. Kau ni memang dasar otak semut. Tadi pagi kan aku dah cakap, jalan pandang depan. Belum sampai 24 jam kau dah lupa..otak kau memang tak berfungsi lah! Menyusahkan orang je” Aku berhenti mengelap bajunya dan memandang ke atas jalan raya. Tak sanggup rasanya hendak memandang wajah tampannya yang sedang marah itu.

“Hoi! Aku tahulah dia salah, tapi kau tak perlulah nak kurang ajar sangat.” Muka Iman sudah kemerah-merahan kerana menahan marah. Aku pula tidak berani memandang muka Mr. F. Kalaulah dia tahu aku ni pembantu rumahnya..mati aku!

“Iman..takpe..memang salah aku pun” Aku beralah bersebab. Kalau ikut aku, nak aje aku ambil cili kat kedai sebelah dan sumbatkan dalam mulut dia. Baru puas hati aku. Tetapi apakan daya, masa depan kerjayaku lebih penting.

“Takde lah, agak-agaklah nak marah pun, jangan main cakap je” Iman masih mempertahankan kenyataannya. Aku pun marah tetapi apa lagi yang harus aku lakukan? Memang salah aku tidak berhati-hati semasa berjalan. Bilalah sifat kelam kabut aku ni nak hilang, aku sendiri tidak pasti.

“Dah lah, malas aku nak layan minah kilang macam korang.” Kata-kata Mr.F memang melampau. Mahu sahaja aku menampar-nampar mukanya saat ini. Mr. F berlalu dengan selamba meninggalkan kami bersama beberapa pasang mata yang masih memerhati aku dan Iman. Terasa seperti artis pula apabila diberi perhatian begini. Ya, sedapkanlah hati kau sendiri, wahai Noorul.

Aku dan Iman pun melangkah menuju ke gerai nasi ayam. Selera aku untuk makan tiba-tiba tertutup mengenangkan kejadian sebentar tadi. Macam manalah nanti kalau Mr. F tahu aku pembantu rumahnya. Matilah aku, mesti aku dipecatnya serta-merta. Jadi, identitiku harus disembunyikan sebaik mungkin.

“Kerek betul lelaki tadi. Harap muka je handsome, perangai macam hantu.” Kata Iman setelah kami sampai di gerai nasi ayam. Aku memesan 2 bungkus nasi ayam special untuk aku dan Iman.

“Iman, aku ada benda nak cakap kat kau.” Pandanganku masih kuhalakan ke arah makcik yang sedang membungkus nasi ayam kami.

“Ape? Cakap je la.” Iman yang masih marahkan bos aku ini kelihatan seperti tidak ada mood untuk bercakap. Hai, pastinya Iman akan terkejut beruk dengan apa yang bakal aku beritahu dia. Aku mengambil nasi ayam yang siap dibungkus dan setelah membayar harga nasi tersebut kami mula melangkah untuk ke tempat letak kenderaan. Mood untuk membeli makanan memang sudah tidak ada.

“Apa benda kau nak cakap tadi?” Iman mengulangi soalannya. Dia merenung ke arahku sekilas.

“Iman, lelaki tadi tu sebenarnya Mr. F, bos aku.”

“What?!! Kau biar betul Noorul. Ni bukan masanya nak main-main.” Langkah Iman terhenti. Dia memandang ke arahku memintak penjelasan selanjutnya.

“Betul Iman. Kan tadi ada dia cakap belum pun sampai 24 jam dia nasihatkan aku suruh jalan pandang depan, aku dah lupa. Kau ingat tak?”Aku cuba mengingatkan Iman apa yang dikatakan oleh Mr. F tadi.

“Ya Allah, patutlah dia ada cakap, you.. AGAIN!” Iman meniru gaya Mr F bercakap membuatkan aku rasa ingin ketawa.

“Iman, aku risaulah kalau dia tahu aku yang bekerja di penthousenya” Aku meluahkan rasa risauku kepada Iman. Aku sedih kerana baru bulan ini aku bercita-cita untuk memberikan wang saku seperti biasa kepada mak aku di kampung.

“Jangan risaulah, Noorul. Kau buat je kerja kau elok-elok okay? InsyaALLAH semuanya akan okay.” Iman cuba mententeramkan aku yang memang sudah tidak mampu untuk berfikir secara positif. Kenapalah malang sangat takdir hidupku ini kena berjumpa dengan bos seperti Mr. F? Pasrah sahajalah, wahai Noorul.

***

5 comments:

  1. Suspen tul... tapi funny.... ok gak citer ni....

    ReplyDelete
  2. heeheh yep funny tapi saya suka membacanyer ;) kakngat :)

    ReplyDelete
  3. Ibu Hafiz : heheh Thanks sudi baca :)

    Anonymous : Thanks yea Kak Ngat :)

    Fatin Baharuddin's daughter : Thanks for reading..:)

    ReplyDelete
  4. 1st time sya bca novel setebal ini..permulaan crita yg baik smpai sya rasa x nk lepas je novel ni..good job suri..lpas ni buat lg yg terbaik..sya sntiasa akan sokong karya suri..

    ReplyDelete