untuk membaca bab terdahulu [bab 1 & bab 2], klik di sini :
https://queenlpermaisuri.blogspot.kr/search?updated-max=2018-02-04T09:29:00-02:00&max-results=7
https://queenlpermaisuri.blogspot.kr/search?updated-max=2018-02-04T09:29:00-02:00&max-results=7
Anak mata kubuka dengan rasa mamai yang
masih bersisa. Silau cahaya dari juraian chandelier yang cantik berkilauan di siling
membuatkan aku memejamkan mata untuk seketika. Tangan kanan kuangkat namun cepat-cepat
aku letakkan semula di atas katil bersama wajah yang berkerut menahan pedih. Auchh..!
Pantas aku membuka mata. Pandangan kufokuskan pada tiub IV yang bertepek di
atas tangan kanan. Kelam-kabut anak mata kularikan ke arah kantung berisi
cecair jernih yang tergantung di sebelah kananku. Aku kat hospital ke ni?
Kenapa aku kena drip pulak?
Ligat otak cuba mengingati segala apa
yang telah terjadi. Bilik ini nampak eksklusif dan mewah. Dekorasinya ala
Inggeris dan siap dilengkapi dengan set sofa dan almari kayu berwarna putih. Perlahan
aku menggelengkan kepala. Tak..tempat ni tak nampak macam hospital pun!
Di mana
aku berada? Rasa cemas mula menyerbu ruang dada. Jantungku mulalah berdegup
sumbang. Selimut kuselak dengan penuh kerisauan. Fuh..nasib baik baju dan
seluar yang kupakai tadi masih terletak elok di badan.
Jantung semakin laju berdegup saat otak
memutarkan semula insiden yang berlaku sebelum aku terlantar di sini.
Air
jernih sudah mula bertakung apabila terbayangkan insiden di kawasan rumah kedai
yang sangat sunyi tadi. Sebak menghimpit dada. Tergamak Abang Joe buat macam tu
kepada aku? Kurang ajar betul!
Kalaulah ayah tahu seseorang yang dirasakan
boleh diharap dan dianggapnya seperti ahli keluarga sendiri buat begitu padaku,
pasti remuk-redam hatinya. Nasib baik aku sempat melarikan diri dan bersembunyi
di dalam kilang berwarna kuning tu tadi. Sebut tentang kilang tangan kiri
pantas menutup mulut yang sudah sedikit terlopong. Pantas tangan menyeka air
jernih di hujung mata.
Tuan Faleeq Al-Hayyan!!
Laju jantung berkompang. Sepotong nama
itu bergema di dalam hati. Mampu membuatkan aku gelisah. Semakin kalut aku
jadinya. Air liur yang kutelan terasa berpasir. Ni semua salah si botak tu!
Kalau tidak kerana Abang Joe, tidaklah aku menyembunyikan diri di kilang yang
mungkin dimiliki oleh Faleeq Al-Hayyan itu. Membuak-buak
rasa berang saat ini. Turun naik dada menahan marah. Peristiwa di kilang berulang
kali mencengkam minda. Ya Allah, aku rebah di hadapan pintu masuk kilang tadi.
Persoalannya di mana aku sekarang? Apa yang
berlaku setelah aku rebah? Siapa yang bawa aku ke sini? Bertalu-talu soalan
menyerang minda. Pantas aku bangun dari pembaringan. Kepala yang sedikit berat
aku sandarkan pada kepala katil. Tangan kiri memicit lembut kawasan kepala. Ah,
tak kisahlah aku berada di mana dan siapa yang bawa aku ke mari, yang penting
aku harus cepat-cepat berambus dari sini.
Baru sahaja tangan kiri ingin mencabut IV
drip dari tangan tangan, kedengaran suara orang berbual-bual di luar bilik.
Aduhh! Macam mana ni? Buntu aku jadinya. Degupan
jantung semakin tidak sekata. Sumpah aku gelabah! Apabila tombol pintu dipulas
dari luar, kelam-kabut aku berbaring semula. Bau wangian yang sudah mula sebati
dengan hidungku menerpa masuk membuatkan jantungku semakin kuat berdegup. Berderau
darah dalam badan.
Pandangan kuhalakan ke arah kelibat
manusia yang sedang masuk ke dalam bilik ini. Tekaanku memang mengena! Mata
terus kupejamkan serapat-rapatnya. Pura-pura masih pengsan kerana aku tidak
tahu bagaimana untuk berhadapan dengan lelaki itu gara-gara terlalu cemas. Ya
Allah, betullah dia yang bawa aku ke sini?
"Er..Tuan Faleeq, apa kata doktor.?"
Suara seorang wanita pertengahan umur
menerjah masuk ke ruang telinga. Sedikit sebanyak ada rasa lega meggantikan
rasa gelisah dan cemas tadi apabila tahu yang ada orang lain yang bersama kami
di sini. Wanita pulak tu.
"Dehydration and low blood pressure, Mak Inah." Jawab lelaki itu.
"Oh..kasihannya.." Luah
wanita yang dipanggil Mak Inah itu dengan penuh simpati.
"Sekejap
lagi sedarlah tu." Tambah lelaki yang berwajah serius itu acuh tak acuh.
Perlahan-lahan otakku mencerna maklumat
yang baru aku terima. Dehidrasi dan tekanan darah rendah? Itu rupanya penyebab
aku rebah tadi.
Ye lah..kerja dari malam sampai ke pagi bekerja di
restoran 24 jam. Belum sempat tidur atau rehat, aku terpaksa ke kelas Dr. Aliff
pulak pukul 9 pagi tadi. Lepas tu, terus berjumpa si botak tu. Belum campur
lari 1 km lebih untuk menyelamatkan diri lagi. Mananya aku tak pengsan?
Semakin gelisah aku jadinya apabila
terkenangkan masalah aku dengan Abang Joe. Mana aku nak cekau duit untuk bayar
hutang aku pada lelaki itu? 13 ribu bukan sedikit! Relaks Thalia..selesaikan
masalah kau dengan Tuan Faleeq ni dulu. Seperti ada suara yang berkata begitu
saat ini.
Eh, kenapa sunyi aje bilik ni? Tak
senang duduk aku jadinya. Lantas, anak mata cuba kubuka dengan sangat minima
keluasannya saat ini. Kelihatan Tuan Faleeq dan seorang wanita yang berhijab
sedang berada di hujung katil. Kedua-dua mereka sedang membelakangi aku. Jadi
dapatlah aku meneruskan pemerhatian. Anak mata merayap ke arah lelaki yang
sedang sibuk dengan telefon bimbit di tangannya itu. Dia kelihatan seperti sebaya sahaja dengan Dr. Aliff Azri. Dalam lingkungan umur 27 hingga ke 29 tahun.
Pandanganku melekat pada rambutnya yang tersisir rapi. Kata Didee dia mempunyai sepasang
mata berwarna hazel yang sangat mempesonakan. Entah. Tak perasan pulak aku.
Takde masa laa aku nak tenung mata dia tu! Bukan dapat duit pun!Anak mata kini berlari
pada susuk tubuh tegap lelaki yang memakai kemeja berwarna putih itu. Kedua-dua
belah lengan bajunya disinsing sehingga ke siku menampakkan lengannya yang
sedikit berotot. Dadanya juga bidang membuatkan baju kemeja itu terletak elok
di tubuhnya.
Apabila sedar yang aku sudah terlebih
merenung lelaki itu, aku terus memejamkan mata. Erghh ini semua salah Didee
yang rajin sangat bercerita mengenai lelaki idolanya ini. Anak mata kuhalakan pada
seorang wanita yang dikenali sebagai Mak Inah. Wanita yang kelihatan berada
dalam lingkungan umur 50-an itu sedang mengambil sesuatu dari dalam almari berwarna
putih di sudut kanan bilik.
MAK INAH |
Oh, tuala kecil rupanya yang diambilnya itu. Dia
kulihat meletakkan tuala di atas dulang kemudiannya.Anak mata kularikan ke arah
dulang aluminium tersebut. Aku hanya mampu menelan liur saat ini. Serta-merta
tekak terasa kering dan perut pun berkeroncong teruk minta diiisi. Berapa jam
agaknya aku pengsan?
Apabila nampak wanita itu melangkah ke
mari, terus aku menutup mata kembali serapat-rapatnya.
"Siapa sebenarnya gadis ni?" Tanya
Mak Inah. Kedengaran bunyi dulang diletakkan di atas meja di sebelah kananku.
Soalan Mak Inah itu dibiarkan sepi sahaja oleh lelaki itu.
"Mak Inah bukannya nak menyibuk
hal tuan, cuma Mak Inah takut kalau Dato' dan Datin tiba-tiba pulang. Tak tahu nak jawab
apa nanti." Mak Inah bersuara kemudiannya.
Aduh..aku berada di rumah keluarga Tuan
Faleeq rupanya. Lelaki itu memang dah hilang akal! Kenapa dia bawak aku pulang?
Bergegar rasa jantung. Mulalah aku tak sedap hati. Sikit lagi boleh terhenti
berdegup! Apakah yang akan terjadi padaku selepas ini?
"Don't worry, Mak Inah. Mama
dengan papa masih di Cameron Highlands. Dorang tak jadi pulang hari ni."
Lambat-Lambat Tuan Faleeq bersuara.
"Tapi, siapa gadis ni, tuan?"
Soal Mak Inah dengan rasa ingin tahu yang menggunung.
"Entah. Pencuri mungkin. Kitorang
tangkap dia ni masa dia ceroboh kilang tadi." Ujar lelaki itu acuh tak
acuh.
Jawapannya itu mampu membuatkan darah aku menyirap teruk! Dia percaya
kata-kata Abang Joe begitu sahaja?
Kurang asam betul! Nama aje orang
korporat, tapi cara pemikiran tu boleh
tahan kuno. Mana adil buat tuduhan tanpa siasatan? Bila pula dia tangkap aku?! Ingat aku anak ayam ke nak tangkap-tangkap? Aku
mungkin pengsan tapi aku belum hilang ingatan lagi ya! Otak ni masih berfungsi
dengan baik. Seingat aku, aku sendiri yang keluar dari kilang itu untuk
berjumpa dengannya. Isk, makin sakit pulak hati aku. Rasa mahu saja aku tampar-tampar mulut mamat perasan bagus
ni! Biar bersepai semua giginya.
"Ishh..biar betul tuan..tak nampak
macam pencuri atau penceroboh pun gadis ni?"
Setelah mendiamkan diri beberapa
minit, Mak Inah mula bersuara namun masih belum mampu menghilangkan sakit di
hati aku dengan tuduhan lelaki itu.
"Wajah dia nampak macam budak baik.." Tambah Mak Inah lagi.
Kann! Sah-sah muka aku nampak macam
budak baik kut! Mak Inah juga yang bijak dan tahu menilai. Sejuk sikit hati
aku.
"Mak Inah ni.." Ada nada
kurang senang yang dapat dikesan dalam nada suara Tuan Faleeq. Eh..eh!
"Ni bukan tahun 60-an, 70-an, Mak Inah. Muka je nampak baik, perangai macam hantu."
Tersentak aku jadinya. Terlopong
mulutku. Pantas aku menutupnya semula. Menggelegak darah naik sampai kepala.
Dia panggil aku hantu? Dia panggil aku
hantuuuu???! Dah lebih, mamat perasan bagus ni. Ikutkan hati mahu sahaja aku
capai gelas atas dulang dan baling tepat kat kepalanya tu. Biar otak tu tapis
dulu sebelum berkata-kata lepas ni.
Perlahan-lahan aku membuka mata gara-gara terlalu berang. Mak Inah sedang membelakangi aku. Anak mata tajam merenung ke arah lelaki itu di hujung katil. Kecik besar kecik besar aje aku tengok dia ni. Lidah tu memang dari lahir-lahir ke suka sakitkan hati orang?
Alamak! Dia pandang sini lah! Kecut
perut aku jadinya!
Pantas aku memejamkan mata kembali di dalam rasa benci yang
meluap-luap. Dia nampak tak aku buka mata tadi? Cemasnya! Gelisah sangat
keadaanku sehingga dapat mendengar degup
jantung sendiri yang semakin melaju berdetak.
"Mak Inah, sekejap lagi Aliff akan datang. Please turun ke bawah dan sediakan
apa yang patut ya. Spaghetti would be nice too.." Kedengaran suara Tuan
Faleeq memberikan arahan kepada Mak Inah.
Entah kenapa aku jadi tak sedap hati
apabila dia mengusir Mak Inah pergi dari sini. Kejap, Aliff tu Dr. Aliff ke?
Nak pitam dah ni. Adoi..mati aku! Gelabahnya!
"Er..sekarang ke tuan ? Mak Inah
cadang nak suap gadis ni makan apabila dia sedar nanti." Jawab Mak Inah. Pantas
Tuan Faleeq bersuara dengan sedikit
tegas.
"Mak Inah bergurau ke ni?" Soalnya kurang senang.
"She's not my visitor. Jadi, tak
perlulah nak layan sangat penjenayah macam ni. Dalam penjara tu ada ke polis
yang suapkan penjenayah makan?" Soalnya dengan sinis. Bagai ada jarum yang
mencucuk-cucuk hati aku. Pedih betul rasanya ni. Alah, tak hingin aku nak makan
di rumah kau ni. Semakin membara rasa geram aku. Ya Allah tebalkan benteng kesabaran
di hati hambaMu ini.
"Tapi tuan .."
"Mak Inah!" Lain macam terus jadinya ton suara Tuan Faleeq. Pantas Mak Inah memotong dengan sedikit cemas.
"Ba..baik tuan . Mak Inah turun sekarang."
Tidak sampai beberapa saat dia berkata
begitu, kedengaran bunyi keriukan pintu yang dibuka seseorang. Pasti Mak Inah
sudah keluar dari bilik ini. Mulalah aku jadi tidak selesa. Pelbagai rasa
bercampur-baur membuatkan aku kaku. Lagi-lagi apabila terkenangkan yang kami
hanya berdua sahaja di dalam bilik ini. Seram-sejuk jadinya tubuhku. Janganlah Tuan
Faleeq berperangai sama seperti Abang Joe.
Allahuakhbar..nak bernafas pun aku
dah tak berani ni!
"Still unconcious? Hmm? What do I
do to wake you up?"
Lembut dan prihatin sangat suara itu
menampar gegendang telinga membuatkan aku rasa lain macam. Meremang bulu roma
aku. Tak pernah ada lelaki yang bercakap menggunakan ton suara begitu denganku.
Canggungnya!
Baru sahaja ingin membuka mata dan beritahu hal yang sebenarnya, wajahku
sudah basah lencun!
"Heyy!" Jeritku tanpa dapat
dikawal.
Mata kubuka luas-luas. Bulat mata
menjegil pada lelaki yang sedang merenungku dengan tajam sambil menggenggam
gelas yang sudah pun kosong! Dia simbah aku dengan air? Melampau sangat! Kelam-kabut aku bangun dari pembaringan. Wajah
yang beku itu tidak langsung menunjukkan riak bersalah.
"Apahal main simbah-simbah air
ni?" Bentakku tetapi nada suara masih kukawal.
Jelingan maut aku berikan
padanya saat ini. Ingat aku ni pokok ke apa nak simbah-simbah air?! Dia dengan
selamba meletakkan kembali gelas di atas dulang.
Wajah yang basah aku lap dengan
bahagian hujung tudung bawal yang masih tersemat di kepala. Sakittt hati aku
tetapi aku tidak berani melawan apabila mengenangkan yang aku sedang berada di
dalam rumahnya. Berdua sahaja pulak tu dalam bilik yang tertutup rapat.
Aku lihat susuk tubuh lelaki itu sedang
berdiri dengan penuh gaya sambil merenung kemari dengan sangat tajam. Sebelah
tangannya berada di dalam poket seluar dan sebelah lagi meraupkan rambut ke atas.
"Oh, you are awake now? Ingatkan
dah mati!" Selamba sahaja dia berkata begitu dengan wajah yang takde
perasaan.
Kesabaran aku nampaknya sudah sampai puncak. Tapi, gerun pun ye jugak
apabila berhadapan dengan seseorang yang berstatus sepertinya. Apa kau buat ni
Thalia? Let's end all this!
Tiub IV di tangan kucabut dan aku melompat
turun dari katil. Tidak langsung kepedulikan kawasan kepala yang masih berat
dan tubuh yang sedikit lemah. Tidak mahu berlama-lama di sini, aku terus
bergerak ke hujung katil. Beg sandang belakang aku capai dan aku menggalasnya.
Baru sahaja selangkah aku menapak untuk meninggalkan bilik ini, terasa seperti beg
sandang belakangku ditarik dari belakang. Nak luruh rasa jantung.
Automatik langkah kakiku juga terundur
sama. Mahu tidak mahu aku palingkan juga tubuh dan kini aku sedang berdiri
berhadapan dengannya. Namun aku hanya menundukkan wajah sahaja merenung ke arah
lantai. Tidak berani untuk bertentang mata dengannya. Wangiannya semakin jelas
menerjah masuk ke dalam rongga pernafasan memberitahu aku yang jarak di antara
kami agak dekat.
Apa lagi yang dia mahukan dari aku?
Debaran di dada semakin menjadi-jadi apabila perasan yang dia sedang merenungku
sebegitu. Nak bernafas pun dah tak tenteram ni! Di dalam rasa canggung yang teramat,
aku dongakkan juga kepala untuk memandang ke arahnya.
"I am not done with you yet."
Ucapnya di antara dengar dan tidak sambil menggelengkan kepala.
Tidak memekik,
tidak juga mengherdik tetapi kenapa kata-kata itu mencengkam sampai ke hati?
Peluh sejuk mula membasahi dahi.
Anak mata kami bertemu lama untuk
pertama kalinya. Gugup. Hilang terus segala ayat makian yang sudah tercipta di
dalam kepala tadi. Aneh. Dia dah jampi aku ke ni? Yang pastinya renungan sepasang
mata hazel itu mampu membuatkan aku kehilangan kata-kata. Tajam tetapi
mempesonakan. Tidak dapat dikawal, bagaikan ada magnet yang menarik
penglihatanku untuk terus mengamatinya. Ya, benar kata Didee, dia mempunyai
raut wajah yang sangat menarik. Kenapa aku semakin berdebar ni? Apabila tersedar
yang di hadapanku ini adalah CEO Al-Hayyan Group, Tuan Faleeq Al-Hayyan, pantas aku menundukkan wajah
kembali dan merenung ke arah lantai.
Kau memang dah gila, Thalia!Berani
kau tenung-tenung dia? Kau lupa ke siapa
diri kau? Come on, Thalia..orang macam kau takde masa untuk semua ini!! Baik
kau balik dan buat part-time malam nanti di Chicken Station. Dapat juga duit!! Marahku
pada diri sendiri.
"Look at me." Arahnya. Tidak
membentak namun nada suaranya sangat serius. Lambat-lambat aku mendongakkan
kepala merenung ke arahnya kembali dengan keberanian yang masih bersisa.
"Siapa upah kau?" Soalnya
dengan bersahaja. Berkerut dahiku.
"Excuse me?" Soalku yang memang tidak faham dengan soalannya.
"Siapa upah kau? Siapa boss kau?!" Bentaknya dengan sedikit kuat.
Terangkat bahuku gara-gara tergamam
dengan jerkahannya. Merah padam wajah lelaki sejuk beku ini. Aku terus
mengundur dua tapak ke belakang.
"What do you mean? Saya tak
faham." Luahku dengan bersungguh-sungguh.
Wajah beku itu tersenyum segaris dan
kemudian kepala didongakkan ke atas untuk seketika sebelum wajah itu bertukar serius
kembali. Beberapa butang pada baju kemejanya dibuka mendedahkan dadanya
sedikit. Aku mulalah berfikir yang pelik-pelik.
"Kau terlibat dengan kes kecurian
di kilang minggu lepas, kan? Untuk apa kau ke situ lagi tadi?" Soalnya
dengan sangat berang.
Tuduhan itu sangat berat untuk aku hadam.
Sebelah tangan terus kucekakkan di pinggang. Kepala kudongakkan supaya dapat
memandang ke arah lelaki tinggi lampai ini dengan lebih jelas. Rasa marah sudah
mula menguasai diriku.
"Orang kaya-kaya macam awak ni memang suka tuduh-tuduh tanpa siasat dulu ke?" Takut-takut aku menyoal begitu. Geram sangat! Riak wajahnya nampak marah betul denganku. Kulit muka yang cerah itu semakin merah. Anak mata dikecilkan sedikit sebelum bersuara.
"How dare you talk to me like that!" Bidasnya dengan rahang yang sedikit tegang. Tergamam jadinya aku. Aduh mulut, kenapa tak behave!
Apabila dia mengambil beberapa tapak
mendekatiku, aku terus menggawangkan tangan di hadapannya.
"Stop! Please! Saya..saya tak
bermaksud nak marah awak. Sa..saya boleh explain!" Kelam-kabut aku
bersuara dengan sangat sopan dalam satu nafas. Anak matanya tajam berlari ke
serata wajahku. Baik aku ceritakan hal yang sebenar sebelum lelaki ini menuduh
aku yang bukan-bukan lagi.
"Saya bukan pencuri macam yang awak fikirkan tu. Sumpah! Saya hanya tumpang bersembunyi kat situ aje. Ada orang nak.." Kata-kataku hanya mati di situ sahaja.
Gerun memikirkan perlakuan Abang Joe
terhadapku tadi.Sedaya upaya aku cuba menahan diri dari menangis. Lelaki ini
mengambil selangkah lagi ke hadapan membuatkan jarak di antara kami semakin
rapat. Tidak ada lagi ruang untuk aku undurkan diri. Air liur kutelan dengan
perasaan yang tidak tenteram. Cemas memikirkan sekiranya dia juga mempunyai
niat yang sama seperti Abang Joe tadi.
"Kenapa diam? Dah hilang idea nak
menipu? Hmm?" Soalnya bertalu-talu dengan sangat sinis. Pantas aku
menjulingkan anak mata ke atas.
"Hello, kalau awak boleh fikir
macam tu, saya pun boleh tuduh awak culik saya."
Entah dari mana
keberanian itu datang untuk aku berkata begitu. Terkedu jadinya lelaki ini.
Tidak berani menentang renungan tajamnya, aku terus menundukkan pandangan ke arah lantai.
Tidak berani menentang renungan tajamnya, aku terus menundukkan pandangan ke arah lantai.
"Are you out of your mind?" Soalnya dengan berang. Automatik aku
tersenyum sinis. Wajah kudongakkan ke arahnya.
"Exactly, itu yang saya rasa bila dituduh mencuri. Curi sos pulak tu. Baik saya rompak kedai emas, cepat sikit kaya!" Luahku geram.Aku menarik nafas dalam-dalam saat ini. Kemudian aku bersuara lagi.
"Lelaki yang report tentang saya tu..nama dia Joe. Saya lari dari dia dan tumpang bersembunyi di kilang tu. Dia cuba buat perkara tak baik pada saya tadi.." Bersungguh-sungguh aku cerita namun lelaki ini terus menggelengkan kepalanya.
"I don't believe you." Ucapnya. Semakin gelisah jadinya hati.
"Entah-entah kau ada kena mengena dengan kejadian di kilang tempoh hari!" Tuduhnya.
Balik-balik dia kaitkan aku dengan
kejadian di kilangnya tu. Adoi..masalah betullah dengan orang yang tak faham
bahasa ni.
"Ya Allah..kusutnya! Dengar sini baik-baik Tuan Faleeq, Tidak ada sesiapa yang upah saya. Saya tak terlibatlah dengan apa jua kejadian di kilang tu. Saya hanya tumpang bersembunyi aje di situ." Untuk kesekian kalinya aku memberitahu perkara yang sebenar.
"Pilih antara dua. Mengaku
sekarang atau aku akan bawa kau ke balai kerana menceroboh kilang tu."
Tergamam jadinya aku saat ini.Serta-merta
air mata memenuhi ruangan mata. Tak dapat ditahan-tahan lagi. Bergetar bibirku
menahan sebak di dada. Aku tak mahu masuk lokap. Demi Allah, hanya wajah ayah
dan Tira silih berganti di ruangan fikiran ketika ini.
"Saya mohon sangat-sangat.
Tolonglah jangan kusutkan fikiran saya yang dah sedia serabut ni. Masalah yang
ada sekarang pun dah cukup buat saya rasa tak terdaya nak teruskan hidup. Janganlah
aniaya saya seperti Abang Joe. Tolonglah percaya cakap saya. I have nothing to
do with whatever incident that happened in your factory last week." Ada
getaran di hujung ayat tersebut gara-gara sebak yang terus-menerus mengasak
dada. Aku lihat riak wajah Tuan Faleeq
berubah sedikit.
"Memang saya orang miskin. Tapi
saya tak hina untuk buat perkara keji begitu." Luahku kemudiannya. Aku
lihat dia ingin katakan sesuatu tetapi aku lebih pantas membuka mulut.Air mata
yang sudah pun mengalir pantas aku seka dengan jari.
"Saya student Dr. Aliff Azri." Kata-kataku membuatkan lelaki ini tersentak.
Beg sandang belakang aku buka dan beg
duit aku capai. Kad pelajar yang terselit di bahagian dalam beg duit ini aku
tarik keluar dan aku hulurkan padanya.
"Ini buktinya. Kita pernah
bertemu. Awak datang ke kampus berjumpa Dr. Aliff kan semalam? Masa tu Dr. Aliff
sedang berbual dengan seorang pelajar perempuan. Sayalah pelajar tu." Beritahuku
dengan bersungguh-sungguh.
Lelaki ini sekadar merenungku dalam-dalam.
Sukar untuk meneka apa yang sedang berlegar di dalam fikirannya. Kad matriks
yang aku hulurkan tidak diambilnya tetapi dia merampas beg duitku! Tergamam aku
seketika. Kuat jantung berpalu tika ini.
"This is your I/C?" Kad pengenalanku
yang terselit di dalam beg duit ditariknya kasar. Lambat-lambat aku
menganggukkan kepala. Kelihatan lelaki ini memfokuskan pandangan pada kad
tersebut. Dari gayanya seperti sedang membaca segala maklumat yang tertera di
situ.
"Well Thalia Aysara Binti
Baharuddin, I will keep your I/C sampailah selesai siasatan." Putusnya
dengan selamba.
"What?"Aku mengecilkan anak mata tanda tidak setuju. Bengong betul. Sesuka hati dia buat keputusan begitu.
"Aduh..dia ni memang suka betul
buat aku serabut!" Getusku dengan geram. Tidak peduli lagi kalau dia
dengar bebelanku ini. Tangan kanan menggaru kasar kepala di sebalik tudung.
"Tolonglah tuan.Saya takde masa nak
main-main macam ni. Please, kasi balik I/C saya..tak pasal-pasal orang ingat
saya ni pendatang tanpa izin pulak nanti!"
Aku lihat wajah yang beku itu tidak
memberikan sebarang reaksi. Kedua belah bahu dijungkit ke atas saat ini.
"Is that my problem?"
Soalnya dengan sangat serius membuatkan
aku melarikan pandangan ke arah lain.Terkunci terus mulutku. Dia ni benar-benar
buat aku bertambah sakit hati. Susah sangat ke dia nak percaya yang aku ni
bukan penjenayah?
"Apa kau tunggu lagi? Get
out!" Halaunya dengan wajah yang tegang.
Memang tak guna bertekak dengan
dia. Sampai aku menangis air mata darah sekalipun aku yakin dia tidak akan
memulangkan kad pengenalan aku tu. Pedih hati aku saat ini.
Ah, memang aku nak berambus pun! Tadi
aku nak blah, dia tak benarkan! Sekarang main halau-halau pulak. Bersama rasa
meluat aku terus berpaling ke arah pintu.
"Tak payah halaulah. Macamlah orang
hadap sangat nak duduk sini. Dia tu yang culik kita dan bawa ke sini! Dasar
penculik!"
Lancang mulutku menggumam pada diri
sendiri dengan perlahan saat ini sambil melangkah keluar. Kalau dia boleh gelar
aku pencuri, kenapa aku tak boleh gelar dia penculik? Sebalnya! Hati aku tersangat
sebal sekarang ni!
"Watch your mouth!" Bentak lelaki itu di belakang sana.
Aku
memejamkan mata untuk sesaat gara-gara terkejut mendengar suara itu. Tombol
pintu kupulas dan aku melangkah keluar dengan rasa tak puas hati yang
menggunung tinggi. Dia dengar la pulak aku membebel tadi! Pantas aku menutup
pintu dengan sedikit kuat. Anak mata merenung ke segenap kawasan ini. Kakiku
bagai dipaku.
Cantiknya! Yang penting tak padat macam sesetengah rumah mak-mak
datin dalam majalah atau tv.
Demi Allah tak pernah aku masuk ke rumah yang
serba mewah begini. Anak mata tertumpu pada ruang tamu yang dilengkapi dengan
set home theatre. Kemudian, pandangan mata berlari pada set sofa kulit berwarna
coklat gelap yang nampak sangat classy! Tidak berani nak berlama-lama di
ruangan atas ini, aku terus menyambung langkahku dengan hati yang masih pedih. Mentang-mentang
dia berpangkat, selamba sahaja ambil I/C aku!
Apabila terpandang ke arah beg duit dan
segugus kunci kereta yang terletak kemas di atas meja kaca, langkahku mati
sekali lagi. Kelam-kabut aku menyerbu ke situ. Mintak-mintaklah ini wallet
mamat perasan bagus tu!
Mungkin kerana sakit hati yang
mengasak-asak, aku hilang akal sebegini. Beg duit kulit berwarna hitam tersebut
kucapai dan aku terus membukanya dengan jantung yang berkompang laju. Anak mata
kuliarkan. Tidak ada sesiapa pun di sini.
Hati yang sakit terubat sikit saat aku
terpandangkan kad pengenalan yang terselit di dalam beg duit ini. Dengan sedikit
cemas aku menarik keluar kad pengenalan tersebut dan anak mata kufokuskan pada
tulisan di atas kad. Benarlah beg duit ini adalah milik dia?
Bersama senyuman lebar aku memasukkan
kad di tangan ke dalam poket seluar. Kalau dia boleh ambil I/C aku, kenapa pula
aku tak boleh ambil I/C dia?? He started this game first.
Tuan Faleeq, ini Thalia lah! Pulangkan I/C saya dan
saya akan pulangkan I/C tuan. Salam perkenalan :) Aku berkata-kata di dalam
hati.
Terpempan jadinya aku apabila terpandangkan gambar yang digantung di bahagian dinding. Anak mata cuba meneliti wajah seseorang di dalam gambar itu dengan jantung yang bergetar hebat. Eh, bukan orang yang samalah Thalia. Hati aku berkata-kata sendiri.
"Cik.."
Berderau darah dalam tubuh. Pantas aku
menoleh ke arah susuk tubuh yang baru muncul di ruang tamu ini.
"Er...pang..panggil Thalia
a..aje." Orang buat salah, memang takut! Tergagap-gagap aku bersuara.
"Thalia nak makan? Mak Inah
sediakan ya?" Soal Mak Inah dengan ramah. Terus aku gelengkan kepala dalam
rasa gelisah yang berpanjangan. Agak-agak Mak Inah nampak tak apa yang aku
lakukan tadi? Risau pulak hati ini!
"Tak..takpe Mak..Mak Inah.
Sa..saya nak pu..pulang." Penyakit gagapku nampaknya masih belum hilang..
"Oh..Thalia nak turun ke bawahlah ni? Jom..Mak Inah temankan."
Bagai burung belatuk aku menganggukkan
kepala beberapa kali. Mak Inah memang sangat peramah tetapi fakta itu tidak
mampu membuatkan hati aku tenang. Pantas kaki
mengejar langkah Mak Inah yang sedang menghayunkan langkah ke arah tangga. Tak
sabar nak keluar dari rumah agam ini.
***
BAB 4
Berlari-lari anak aku menuju ke arah
pintu gara-gara tidak sabar hendak keluar dari banglo milik keluarga Tuan
Faleeq. Nasib baik tak tersepak pasu-pasu bunga tinggi yang terhias cantik di
ruangan ini. Rasanya gaji aku di Chicken Station sebulan pun tak dapat bayar
harga sebuah pasu tu. Sampai sahaja di
hadapan muka pintu, terus aku brek mengejut. Fuhh..nasib baik tidak bertembung
dengan manusia di hadapanku ini! Tak perasan pula ada orang di muka pintu tadi.
"Maaf." Soalku seraya
mengangkat wajah.
Tergamam aku jadinya saat mataku bertemu
dengan sepasang mata lelaki yang berada di hadapanku saat ini. Dr. Aliff? Lelaki yang kelihatan santai dengan
t-shirt hitam dan seluar paras bawah lutut di hadapanku ini tersentak merenung
ke mari.
DR. ALIFF AZRI |
"Thalia Aysara?"
Nyata dia juga terkejut beruk melihat
aku di sini. Dah macam nampak hantu! Ya, aku yang merayu-rayu dengannya untuk
membuat latihan praktikal di Al-Hayyan Group kini berada di rumah pemilik
syarikat ternama itu. Mananya dia tak pelik. Aneh bukan?
"Dr. Aliff.." Akhirnya mulut
yang rapat terkunci itu bersuara juga.
Senyuman tawar sahaja mampu aku
paksakan hadir di bibir. Aduh..bala lain pula datang! Janganlah Tuan Faleeq
cerita apa-apa tentang aku pada lelaki ini. Lebih parah kalau lelaki itu
mengadu yang aku adalah salah seorang suspek yang terlibat dengan kes kecurian
di kilangnya tu. Ah sudah!Aku mahu keluar tetapi lelaki ini seakan menghalang.
"What are you doing here?"
Soalnya dengan penuh rasa ingin tahu. Berkerut wajahnya tu menanti jawapanku. Aduh..apa
aku nak jawab ni? Cepat-cepat aku meraupkan wajah dengan sebelah tangan. Rasa
nak menangis aje ni.
"Saya..saya.." Tergagap-gagap
aku bersuara. Tidak terbendung lagi rasa gementar yang bermaharaja lela. Otak
pula masih mereka jawapan yang sesuai.
"You're here, Aliff! Come on
in."
Tuan Faleeq! Mendengar sahaja suara yang penuh
maskulin itu bergema di ruangan ini, darahku semakin teruk bergelojak. Anak mata
Dr. Aliff kulihat bergerak ke arah lain. Tahulah aku yang Tuan Faleeq sedang
berada di belakang aku tika ini.
"Sorry sampai lewat sikit. Jalan
jam teruk, Faleeq. Ada accident." Ujarnya kepada rakannya itu. Aku sudah
mula tidak selesa.
"No problem. Do you know her, Aliff?" Soal Tuan Faleeq pula. Isk, dah tahu nak tanya-tanya lagi! Tak percaya ke aku cakap tadi yang aku ini adalah student Dr. Aliff? Mata Dr. Aliff berada di wajahku untuk seketika sebelum berlari kembali ke arah lelaki itu.
"Yeah..she is my student."
Lambat-lambat Dr. Aliff bersuara.
Macam tak rela aje nak mengaku aku ini
adalah pelajarnya. Terus aku palingkan kepala ke belakang. Sengaja mahu melihat
reaksi wajah mamat perasan bagus tu. Anak mata kami bertembung untuk kesekian
kalinya. Kening kanan kuangkat beberapa kali gara-gara terlalu geram dengannya.
Puas hati?
Pertanyaan itu hanya bergema di dalam
hati sahaja tetapi, yang lucunya, wajahnya berubah riak. Tercabar ke dengan
kening aku ni? Gerun pula aku jadinya. Terus aku memalingkan wajah ke hadapan.
Baik aku blah!
"Dr. Aliff, saya pulang
dulu." Sebaik sahaja berkata begitu dengan sangat sopan, kelam-kabut aku
langkahkan kaki. Baru setapak melangkah, Dr. Aliff bersuara lagi.
"Kamu buat apa di sini
Thalia?"
Aduh..dia tanya lagi soalan itu. Kali
ini dalam bahasa melayu pula.Tergamam aku jadinya. Ingat kertas exam ke? Dwibahasa.
"Ahem"
Deheman Tuan Faleeq itu entah kenapa
menyakitkan telinga aku. Macam memerli pun ada. Kelam-kabut aku menoleh ke arah
lelaki yang kelihatan sedang berpeluk tubuh itu. Wajah 20 sen aku tayang untuk
memohon simpati. Janganlah dia tuduh aku ni pencuri di hadapan pensyarah aku ni
pulak.
"So, she is your student. Aliff, I
personally have something important to share with you.." Belum sempat dia
menghabiskan ayat itu, aku terus memotong dengan kalut.
"Dr. Aliff! Saya..saya.."
Ya Allah, apa aku nak cakap ni?
"Saya kerja kat sini! I work here.
Part-time."
Tak tahulah dari mana idea itu datang.
Lancar sahaja bait-bait ayat itu meluncur keluar dari mulutku. Aku lihat wajah
Dr. Aliff berubah riak. Tuan Faleeq pula mengangkat sebelah keningnya kepadaku.
"Oh really..since when?"
Soalan Dr. Aliff benar-benar membuatkan aku cemas. Terus aku menggaru kepala
yang tidak gatal.
"Yeah..since when?" Soalnya dengan wajah yang sangat menyakitkan hati.
Tergamam
aku apabila Tuan Faleeq turut
bertanyakan aku soalan itu dengan sangat sinis. Masak aku! Perlahan kulihat
kepalanya menggeleng. Dia seperti ingin berbicara lanjut namun tidak jadi
berbuat demikian apabila telefon bimbitnya berdering. Sempat aku menghembuskan
nafas lega saat ini.
"Make yourself comfortable Aliff.
Sorry, but I have to take this call." Ujarnya dengan riak yang sangat
serius. Dr. Aliff kulihat terus menganggukkan kepalanya.
"Thalia Aysara, saya tanya kamu
sekali lagi soalan ni. Apa yang kamu buat di sini sebenarnya? Kalau kamu
bekerja di sini, takkan lah tuan rumahnya tak tahu?" Soalan Dr. Aliff benar-benar
membuatkan aku terdiam seribu bahasa. Bukan
niat aku ingin berbohong. Tapi, pilihan apa yang aku ada? Dr. Aliff dah tayang
muka pelik. Aduhh! Kacau bilaunya situasi ini.
"Dr. Aliff..betullah tu. Tuan Faleeq tak tahu yang Thalia bekerja di sini. Dia baru aje pulang tadi. Sebenarnya, Thalia tolong Mak Inah berkebun. Bersihkan laman kat luar tu. Luas sangat. Mak Inah tak larat buat sorang-sorang. Itu yang minta Pak Dolah tolong carikan orang untuk tolong Mak Inah." Panjang lebar Mak Inah mereka cerita.
"Oh.." Itu sahaja yang keluar
dari mulut Dr. Aliff bersama anggukan kecil.
Tak pasal-pasal Mak Inah juga terpaksa
berbohong untuk menolong aku. Wajah Mak Inah aku pandang dengan penuh rasa
terharu. Ya Allah, nasib baik ada Mak Inah.
Malas hendak menganalisa sama ada dia
percaya atau tidak dengan apa yang dikatakan oleh Mak Inah itu. Anak mata
kuliarkan ke arah sekeliling. Nampaknya Tuan Faleeq tidak ada di ruangan ini.
Sebelum lelaki itu datang, baik aku keluar dari sini.
"Sa..saya balik dulu Mak Inah. Assalamualaikum." Ucapku dengan kalut saat ini.
"Waalaikumussalam." Angguk
wanita yang memakai baju kedah yang dipadankan dengan seluar panjang itu.
Senyuman
penuh simpati dihadiahkan khas untuk aku. Tanpa berlengah, aku terus melangkah
keluar.
"Dr. Aliff, jom kita ke ruang
tamu. Mak Inah dah hidangkan makanan." Sayup-sayup terdengar suara Mak Inah
di dalam sana.
Kasut kusarungkan ke kaki dengan
pelbagai perasaan yang tidak enak. Isk,
harap-haraplah jembalang tu tak cerita yang pelik-pelik tentang aku pada si
harimau bintang tu! Ergh..masalah, masalah! Kalaulah Tuan Faleeq tahu aku
mengambil kad pengenalannya..pantas jantung berdegup kencang saat ini. Terlalu
ngeri untuk memikirkan kemungkinan yang akan terjadi.
BERSAMBUNG :)
Assalamualaikum semua :) Bertemu lagi dalam karya ketujuh..oh ya, tajuk ni adalah tajuk sementara..mungkin akan bertukar nanti :) terima kasih kerana masih sudi membaca karya Suri. Semua komen-komen boleh diberikan di facebook group: Bila Suri Ryana Menaip :) Thanks kepada semua yg sudi baca, sudi like, sudi komen dan sudi share. Kamsahamnida!
Jumpa lagi di bab 5 :)
***